Tazkirah

Tuesday, September 27, 2011

Jadikan renang kokurikulum di sekolah

Assalamualaikum wbkt dan salam sejahtera...

Admin tertarik dengan keratan akhbar daripada Utusan Malaysia bertarikh Sabtu, 24 September 2011 yang bertajuk, “Jadikan renang kokurikulum di sekolah”. Seperti yang semua orang maklum bahawa, aktiviti berenang mempunyai banyak kebaikan. Ia boleh menghilangkan stress samada stress kerja, masalah peribadi, atau kewangan. Bila kita berenang, otak kita secara automatik akan tenang sebentar, sebab gerak geri berenang itu akan menyebabkan otak kita akan lupa sebentar perkara-perkara yang memberi tekanan kepada minda dan diri kita. Sebab itu berenang adalah terapi untuk kita semua orang tidak kira tua mahupun yang muda. Selain daripada itu, sukan renang juga disarankan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada kita, supaya tampil sihat dan mempunyai susuk tubuh menawan. Justeru itu, saranan oleh Datuk Abdul Malik Mydin memang ada asasnya. Admin percaya bahawa sudah ada sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan serta kepakaran sama ada dari segi fasilitis mahupun tenaga mahir dalam mengendalikan aktiviti ini menawarkan kokurikulum renang. Mungkin jumlahnya tidak banyak dan boleh dihitung dengan jari.

Di sini admin ingin menarik perhatian semua bahawa dalam kurikulum pendidikan di negara kita yang baru diperkenalkan pada tahun 2011 iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sudah ada dimasukkan silibus renang Tahun 1 iaitu di bawah Modul Kemahiran Aspek 1 – Kemahiran Pergerakan. Antara Standard Kandungan yang terdapat dalam silibus ini ialah Keyakinan dan Keselamatan Di Air. Antara kandungan Standard Pembelajaran yang perlu dicapai ialah mematuhi peraturan dalam air dan melakukan kemahiran keyakinan dalam air: masuk ke dalam air, berdiri, berjalan, bobbing, mengapung tiarap, meluncur (glide), dan berdiri dalam air dari posisi apungan tiarap. Walaupun, ianya hanya pergerakan asas sekurang-kurangnya ianya pendedahan awal adalah penting.

Walaubagaimana pun, masih terdapat kekangan dalam proses perlaksanaan kurikulum renang ini. Seperti yang saya perkatakan di atas. Ianya berkaitan dengan fasilitis dan tenaga pakar. Menurut Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan membina kurikulum ini menyatakan bahawa guru boleh memilih antara akuatik dengan rekreasi dan kesenggangan dalam pengajaran PJ. Bagi yang memilih akuatik, persekitaran sekolah hendaklah mempunyai kemudahan dan guru yang berkelayakan. Aspek 5 dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran Modul Kemahiran dan Modul Kecergasan. Berdasarkan kenyataan di atas, admin percaya dan yakin bahawa ramai guru yang akan memilih rekreasi dan kesenggangan kerana ianya mudah, hanya menggunakan common sense, tidak memerlukan banyak peralatan dan persediaan, pengurusan masa yang tidak cerewet dan beberapa faktor lain yang saya percaya anda di luar sana boleh membuat persepsi sendiri. Jika ini yang berlaku, nampaknya BPK perlu memikirkan alternatif lain.

Walau apa jua yang telah kita rancangkan seharusnya kita hendaklah melaksanakan perancangan kita dengan sebaik mungkin dan berhemah. Usah terlalu meletakkan banyak sangat syarat sedangkan tugas itu sememangnya tugas kita guru-guru Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Tidak tahu kita bertanya, tidak pandai kita belajar dan tidak jatuh martabat seseorang hanya dengan mengakui kekurangan diri. Semoga apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat keberkatan Allah SWT.

Berikut adalah mukadimah sebelum kelas renang dan keselamatan di air dilaksanakan di IPGKTI:-

10 SEBAB MENGAPA ANDA PERLU BELAJAR BERENANG!!!

1. Berenang merupakan satu kemahiran hidup yang tidak ternilai harganya. Dengan kemahiran renang yang anda ada, sekiranya berlaku kecemasan atau kecelakaan sudah tentu ianya sangat berguna dan dapat menyelamatkan nyawa anda.

2. Merupakan satu aktiviti sukan yang paling sihat dan tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Ianya sangat disarankan oleh kebanyakkan doktor bagi orang yang menghidapi obesiti dan juga penyakit asthma.

3. Antara sukan dan aktiviti luar yang paling murah berbanding sukan lain. Anda hanya memerlukan sepasang pakaian renang dan juga bayaran masuk kolam yang kebiasaannya hanyalah sekitar RM4/ RM5 untuk kolam awam.

4. Aktiviti atau sukan renang dapat membentuk dan mengekalkan tubuh badan yang baik dan cantik. Ini dapat diperolehi sekiranya anda melakukannya secara berterusan. Lakukan sekurang-kurangnya selama 20 minit untuk setiap kali anda berenang. 3 x seminggu dan kawal pemakanan.

5. Disebabkan kelebihan-kelebihannya, berenang adalah antara sunnah yang dituntut selain dari memanah dan juga berkuda.

6. Aquatic Advanture bermula dengan aktiviti renang. Kemahiran berenang membolehkan anda melibatkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan medium air. Sebagai contoh: Scuba diving. Walaupun scuba diving tidak memerlukan kemahiran renang yang tinggi tetapi dengan memiliki kemahiran renang tentunya ia sangat membantu dan dapat menyertainya dengan lebih yakin.

7. Air membentuk 70% keadaan rupa bumi kita. Ke mana-mana kita pergi, kita dikelilingi air. Laut, tasik, sungai dan sebagainya. Mengapa kita tidak memperlengkapkan diri dengan kemahiran renang supaya kita dapat berinteraksi dengannya dengan cara yang lebih bermakna lagi.

8. Untuk tujuan riadah ketika bercuti bersama keluarga. Jika kita pandai berenang tidaklah kita ketinggalan dengan hanya menjadi pemerhati dari tepi sahaja. Sedangkan ahli keluarga kita sedang berseronok bermain air dan berenang.

9. Berenang sememangnya merupakan aktiviti yang sungguh menyeronokkan. kenapa anda tidak mengambil peluang menikmatinya. Tentunya kemahiran ini lebih bermakna sekiranya jika dapat melakukannya bersama keluarga.

10. Sebagai persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani berasaskan KSSR anda seharusnya dapat menguasai kemahiran asas renang.

Wednesday, September 21, 2011

ADMIN: Sedih mendengar berita ini. Semoga pihak bertanggungjawab lebih peka & jangan mengambil sikap sambil lewa. Peralatan lama jika diselenggara dengan baik insyaAllah selamat. Justeru itu, untuk mengelak kejadian yang sama berulang pihak pengurusan sekolah perlu membuat jadual pemeriksaan berkala dan simpan rekod penyelenggaraan untuk tujuan pemantauan. Bagi pihak kementerian, pastikan bajet diturunkan bagi memastikan kesimbungan perkara ini. Jika semua pihak sedar dan jelas tanggungjawab masing-masing sudah pasti musibah tidak akan berulang. Semoga roh Mohd Fakrul Amin Abdul Rahman dicucuri rahmat. Amin...

Tuesday, September 20, 2011

40 000 Guru Jadi Jurulatih Sukan

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Dasar 1Murid 1Sukan yang diharapkan akan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sememangnya merupakan satu idea yang sangat baik. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran KPM, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, dasar itu mewajibkan semua murid yang tidak mengalami masalah kesihatan memilih satu jenis sukan ditawarkan pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah. Tambah beliau lagi, “Kementerian menggariskan beberapa perkara bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini iaitu pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun. Antara intipati lain menurut beliau, “Dasar ini berhasrat memupuk budaya bersukan di kalangan murid supaya menjadi anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas”. Beliau menambah lagi, “Penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan perlu bagi membangunkan modal insan cergas”.

Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008. TPM menggariskan enam strategi memantapkan sukan di sekolah ketika mengumumkan program SPTS dan berharap dasar terbabit akan mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara.

Diharap langkah proaktif kerajaan dengan melatih 40,000 guru untuk menjadi jurulatih bagi pelbagai jenis sukan yang akan bermula dari peringkat prasekolah dahulu akan menjadikan impian dasar 1Murid 1Sukan dapat direalisasikan sepenuhnya. KPM akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memberi latihan atau kursus kepada guru-guru yang terpilih di semua peringkat persekolahan.

ADMIN: Diharap apa yang cuba direalisasikan selaras & berbaloi dengan bajet yang telah diluluskan. Sering kita dengar pepatah Melayu ada menyebut, “Rumah siap pahat berbunyi”. Setuju dengan kenyataan Datuk Dr. Wee Ka Siong yang menyatakan bahawa, “Bukan semua guru pendidikan jasmani ialah jurulatih sukan kerana mereka tidak diberi latihan yang sistematik dalam bidang tersebut”.

Wednesday, August 31, 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54


Warisan (Anak Kecil Main Api)

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah pribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di nusantara (3 x)


Saturday, August 27, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H

Assalamualaikum wbkt & salam sejahtera...


Ketupat rendang juadah pelengkap,
Berbaju cantik bermacam gaya,
Puasa sebulan sudahlah lengkap,
Kita menyambut Hari Raya.

Lemang dodol sudah menanti,
Siap dihidang untuk dimakan,
kami menyusun sepuluh jari,
Salah dan silap harap maafkan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin ikhlas daripada kami di Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Minal 'Aidin wal-Faizin...


Khasiat jagung





Jagung adalah sejenis sayuran yang amat popular di seluruh dunia. Jagung banyak digunakan salam kebanyakan hidangan seperti bubur, bijirin dan sayur. Selain rasanya yang sedap, jagung merupakan sumber terbaik zat dan vitamin yang biasanya hanya ditemui dalam sayuran.

Amalan memakan jagung boleh menguatkan tulang, gigi, rambut dan hati. Ia juga boleh menurunkan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah, melancarkan pengaliran darah serta melawaskan kencing. Jagung juga mengandungi karbohidrat yang memberikan tenaga kepada tubuh. Ia sesuai dijadikan makanan semasa berdiet kerana sifatnya yang bebas lemak, kolestrol dan rendah kalori.

Menurut kajian saintis makanan dari Universiti Cornell New York, USA, jagung yang dimasak sama ada dikukus, direbus atau dibakar, membebaskan zat yang cukup iaitu sebatian phenolik yang dipanggil asid ferulik untuk mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung.

Nama saintifik jagung ialah zea mays. Walaupun sering dikaitkan dengan warna kuning, sebenarnya terdapat pelbagai varieti jagung yang terdiri daripada warna yang berbeza. Ini termasuklah merah, merah jambu, hitam, ungu dan biru.

Saturday, August 20, 2011

Selamat Menjalani program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)

Assalamualaikum wbkt dan salam sejahtera...

Selamat menjalani program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) buat semua siswa guru PISMP Ambilan Januari 2010 amnya dan istimewa buat semua tutee saya siswa guru PISMP Pendidikan Jasmani Ambilan Januari 2010. Timbalah seberapa banyak ilmu di sekolah yang telah anda pilih. Jangan sesekali lepaskan peluang yang diberikan. Pastikan tugasan yang diberi disiap dan disempurnakan sebaik mungkin. Peganglah kata-kata ini, "Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan". Ikhlas daripada saya. Jazzalallahhuhair & salam ukhwah...

Monday, August 15, 2011

4 Sebab sarapan itu penting

Setiap orang tentunya perlu untuk mengisi perutnya sebelum memulakan hari, namun, tidak jarang pula orang yang melupakan kebiasaan ini dan membiarkan pagi hari diisi dengan perut yang kosong. Sebenarnya ada beberapa alasan yang menyebabkan pentingnya sarapan di pagi hari untuk kesehatan. Mereka yang berpikir bahawa sarapan tidak penting dan keliru. Riset di Harvard University AS menunjukkan, orang yang teratur sarapan pagi memiliki kecenderungan hingga 50 persen tidak mengalami kegemukan apabila mereka menimbang berat mereka, berbanding mereka yang melewatkan sarapan.

Wednesday, August 10, 2011

Etika Berpakaian Siswa Guru IPGKTI

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Sejak kebelakangan ini sering kedengaran rungutan pensyarah berkenaan dengan etika berpakaian siswa guru IPGKTI yang mana ianya seakan tidak wujud peraturan ini di Kampus Temenggong Ibrahim. Adakah mereka benar-benar tidak mengetahui atau sengaja buat-buat tidak faham disebabkan tiada penguatkuasaan daripada pihak tertentu. Lantaran daripada itu, di sini dilampirkan peraturan etika berpakaian siswa guru IPGKTI yang masih terpakai sehingga sekarang. Tiada pindaan setakat hari ini. Di harap semua siswa guru IPGKTI dapat mengikuti serta mematuhi peraturan ini. Terima kasih & harap maklum.

1. ETIKA BERPAKAIAN

2. PENAMPILAN DIRI PELAJAR

3. ETIKA GAMBAR PELAJAR

Blog peribadi En. Mohd Zairi Husain

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Untuk makluman pembaca blog ini, anda boleh melayari blog En. Mohd Zairi bin Husain di laman sesawang http://mohdzairihusain.blogspot.com untuk mendapatkan bahan-bahan yang berkaitan dengan kuliah beliau. Semoga anda mendapat manafaat daripada blog tersebut. Salam ukhwah daripada Admin jpjkipti.blogspot.com.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BMI CALCULATOR

Disclaimer/Penafian

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Jalan Datin Halimah , 80350 Johor Bahru, Johor.

Tel : 07-2364788 sambungan 236 @ 237 Fax : 07-2379736 Emel: jpjkipti@yahoo.com

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.