Tazkirah

Tuesday, February 21, 2012

Pendidikan Jasmani Penting atau Tidak

Oleh: Rohana Man Utusan Malaysia 27 Oktober 2003 (Dipetik dari http://mknuar.blogspot.com/search/label/PEND.%20JASMANI%20DAN%20KESIHATAN)

Curi Masa PJ

Sikap kebanyakan guru mencuri masa mata pelajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan (PJK) untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan dikenal pasti sebagai salah satu punca bilangan murid gemuk bertambah di sekolah rendah. Kajian yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik dari Jabatan Pemakanan Dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati menjelang musim peperiksaan terutamanya, kebanyakan guru tidak menggunakan waktu PJK untuk tujuan sebenar sebaliknya menggunakan waktu itu untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan. Profesor Madya Dr. Norimah A Karim berkata, masa untuk PJK ialah tiga kali seminggu tetapi terdapat guru mengambil waktu-waktu itu untuk mengajar mata pelajaran peperiksaan.

``Guru menganggap mata pelajaran peperiksaan lebih penting daripada PJK bagi menyediakan murid menghadapi peperiksaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau ditemui pada Majlis Pertandingan Senamrobik Dan Lukisan Sempena Kempen Sekolah Sihat Nestle - Kementerian Pendidikan Di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kajian yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pemakanan Dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM, Profesor Dr. Mohd Ismail Noor itu telah dijalankan pada tahun 2001. Seramai 12,000 murid daripada pelbagai kumpulan etnik dan kawasan dari seluruh semenanjung Malaysia dipilih menjadi responden.

Borang soal selidik disediakan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil dan diedarkan di sekolah bandar dan luar bandar. Bidang yang ditanya dalam soal selidik itu ialah tabiat pemakanan murid yang meliputi sarapan, makanan ringan dan minuman serta pengetahuan mengenai makanan berkhasiat.



Dr. Norimah seterusnya berkata, keadaan itu menyebabkan murid menjadi lebih malas untuk melakukan aktiviti fizikal sekali gus menyumbang kepada masalah kegemukan.

``Sudahlah di rumah, murid tidak melakukan aktiviti fizikal, di sekolah juga keadaannya begitu dan ini boleh menyebabkan masalah lain pula yang muncul,'' ujarnya.

Masalah itu jelasnya ialah berkaitan dengan pelbagai penyakit berkaitan kegemukan seperti paras kolestrol atau gula yang tinggi dalam darah. Selain itu, kajian turut mendapati sebanyak 30 peratus murid sekolah rendah di semenanjung Malaysia tidak mengambil sarapan sebelum ke sekolah.

Menurut Dr. Norimah, kajiannya mendapati terdapat beberapa sebab kenapa ia berlaku dan yang paling utama ialah murid tidak sempat bersarapan. Faktor tidak sempat juga katanya, menyebabkan ibu bapa tidak dapat menyediakan sarapan untuk anak-anak. menurutnya, ibu bapa tidak sempat menyediakan sarapan kerana murid terpaksa ke sekolah pada awal pagi.

Kajian mendapati, murid keluar rumah terlalu awal iaitu sekitar 6.30 pagi sekali gus menyebabkan ibu bapa tidak sempat menyediakan sarapan. ``Bas sekolah datang terlalu awal menyebabkan murid terpaksa keluar rumah awal,'' katanya.

Dr. Norimah juga berkata, suasana waktu pagi yang terlalu awal turut menjejaskan selera makan murid. Katanya, murid menjadi tidak selera untuk sarapan dan akhirnya ke sekolah dengan perut kosong.
Beliau menjelaskan, kegagalan murid mengambil sarapan sebelum ke sekolah boleh menjejaskan tumpuan mereka di kelas.

``Belajar dalam keadaan perut kosong menyebabkan murid hilang tumpuan terhadap apa yang diajar guru di kelas.

``Kesan jangka panjangnya ialah ia boleh menjejaskan pencapaian akademik murid dan ini telah pun terbukti daripada kajian yang pernah dilakukan di amerika syarikat,'' katanya.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa supaya menyediakan sarapan yang ringkas seperti roti atau sandwich.

Menurutnya, ibu bapa boleh mempelbagaikan sandwich yang disediakan seperti sandwich telor; sandwich tuna atau sandwich sardin.

``Tidak perlulah menyediakan sarapan yang rumit untuk dimasak seperti nasi lemak atau mee goreng.

``Cukup sekadar roti sandwich yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi lebih berkhasiat,'' katanya.

Dr. Norimah berkata, penemuan lain dalam kajian itu ialah sebanyak 25 peratus murid mengalami masalah lebih berat badan; 76 peratus murid tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal pada waktu lapang dan 32 peratus murid tidak makan malam bersama keluarga.

``Murid menjadi gemuk kerana kurang aktiviti fizikal. Mereka lebih suka mengisi masa lapang dengan menonton televisyen; permainan video atau komputer,'' katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BMI CALCULATOR

Disclaimer/Penafian

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Jalan Datin Halimah , 80350 Johor Bahru, Johor.

Tel : 07-2364788 sambungan 236 @ 237 Fax : 07-2379736 Emel: jpjkipti@yahoo.com

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.