Tazkirah

Tuesday, September 27, 2011

Jadikan renang kokurikulum di sekolah

Assalamualaikum wbkt dan salam sejahtera...

Admin tertarik dengan keratan akhbar daripada Utusan Malaysia bertarikh Sabtu, 24 September 2011 yang bertajuk, “Jadikan renang kokurikulum di sekolah”. Seperti yang semua orang maklum bahawa, aktiviti berenang mempunyai banyak kebaikan. Ia boleh menghilangkan stress samada stress kerja, masalah peribadi, atau kewangan. Bila kita berenang, otak kita secara automatik akan tenang sebentar, sebab gerak geri berenang itu akan menyebabkan otak kita akan lupa sebentar perkara-perkara yang memberi tekanan kepada minda dan diri kita. Sebab itu berenang adalah terapi untuk kita semua orang tidak kira tua mahupun yang muda. Selain daripada itu, sukan renang juga disarankan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada kita, supaya tampil sihat dan mempunyai susuk tubuh menawan. Justeru itu, saranan oleh Datuk Abdul Malik Mydin memang ada asasnya. Admin percaya bahawa sudah ada sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan serta kepakaran sama ada dari segi fasilitis mahupun tenaga mahir dalam mengendalikan aktiviti ini menawarkan kokurikulum renang. Mungkin jumlahnya tidak banyak dan boleh dihitung dengan jari.

Di sini admin ingin menarik perhatian semua bahawa dalam kurikulum pendidikan di negara kita yang baru diperkenalkan pada tahun 2011 iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sudah ada dimasukkan silibus renang Tahun 1 iaitu di bawah Modul Kemahiran Aspek 1 – Kemahiran Pergerakan. Antara Standard Kandungan yang terdapat dalam silibus ini ialah Keyakinan dan Keselamatan Di Air. Antara kandungan Standard Pembelajaran yang perlu dicapai ialah mematuhi peraturan dalam air dan melakukan kemahiran keyakinan dalam air: masuk ke dalam air, berdiri, berjalan, bobbing, mengapung tiarap, meluncur (glide), dan berdiri dalam air dari posisi apungan tiarap. Walaupun, ianya hanya pergerakan asas sekurang-kurangnya ianya pendedahan awal adalah penting.

Walaubagaimana pun, masih terdapat kekangan dalam proses perlaksanaan kurikulum renang ini. Seperti yang saya perkatakan di atas. Ianya berkaitan dengan fasilitis dan tenaga pakar. Menurut Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan membina kurikulum ini menyatakan bahawa guru boleh memilih antara akuatik dengan rekreasi dan kesenggangan dalam pengajaran PJ. Bagi yang memilih akuatik, persekitaran sekolah hendaklah mempunyai kemudahan dan guru yang berkelayakan. Aspek 5 dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran Modul Kemahiran dan Modul Kecergasan. Berdasarkan kenyataan di atas, admin percaya dan yakin bahawa ramai guru yang akan memilih rekreasi dan kesenggangan kerana ianya mudah, hanya menggunakan common sense, tidak memerlukan banyak peralatan dan persediaan, pengurusan masa yang tidak cerewet dan beberapa faktor lain yang saya percaya anda di luar sana boleh membuat persepsi sendiri. Jika ini yang berlaku, nampaknya BPK perlu memikirkan alternatif lain.

Walau apa jua yang telah kita rancangkan seharusnya kita hendaklah melaksanakan perancangan kita dengan sebaik mungkin dan berhemah. Usah terlalu meletakkan banyak sangat syarat sedangkan tugas itu sememangnya tugas kita guru-guru Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Tidak tahu kita bertanya, tidak pandai kita belajar dan tidak jatuh martabat seseorang hanya dengan mengakui kekurangan diri. Semoga apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat keberkatan Allah SWT.

Berikut adalah mukadimah sebelum kelas renang dan keselamatan di air dilaksanakan di IPGKTI:-

10 SEBAB MENGAPA ANDA PERLU BELAJAR BERENANG!!!

1. Berenang merupakan satu kemahiran hidup yang tidak ternilai harganya. Dengan kemahiran renang yang anda ada, sekiranya berlaku kecemasan atau kecelakaan sudah tentu ianya sangat berguna dan dapat menyelamatkan nyawa anda.

2. Merupakan satu aktiviti sukan yang paling sihat dan tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Ianya sangat disarankan oleh kebanyakkan doktor bagi orang yang menghidapi obesiti dan juga penyakit asthma.

3. Antara sukan dan aktiviti luar yang paling murah berbanding sukan lain. Anda hanya memerlukan sepasang pakaian renang dan juga bayaran masuk kolam yang kebiasaannya hanyalah sekitar RM4/ RM5 untuk kolam awam.

4. Aktiviti atau sukan renang dapat membentuk dan mengekalkan tubuh badan yang baik dan cantik. Ini dapat diperolehi sekiranya anda melakukannya secara berterusan. Lakukan sekurang-kurangnya selama 20 minit untuk setiap kali anda berenang. 3 x seminggu dan kawal pemakanan.

5. Disebabkan kelebihan-kelebihannya, berenang adalah antara sunnah yang dituntut selain dari memanah dan juga berkuda.

6. Aquatic Advanture bermula dengan aktiviti renang. Kemahiran berenang membolehkan anda melibatkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan medium air. Sebagai contoh: Scuba diving. Walaupun scuba diving tidak memerlukan kemahiran renang yang tinggi tetapi dengan memiliki kemahiran renang tentunya ia sangat membantu dan dapat menyertainya dengan lebih yakin.

7. Air membentuk 70% keadaan rupa bumi kita. Ke mana-mana kita pergi, kita dikelilingi air. Laut, tasik, sungai dan sebagainya. Mengapa kita tidak memperlengkapkan diri dengan kemahiran renang supaya kita dapat berinteraksi dengannya dengan cara yang lebih bermakna lagi.

8. Untuk tujuan riadah ketika bercuti bersama keluarga. Jika kita pandai berenang tidaklah kita ketinggalan dengan hanya menjadi pemerhati dari tepi sahaja. Sedangkan ahli keluarga kita sedang berseronok bermain air dan berenang.

9. Berenang sememangnya merupakan aktiviti yang sungguh menyeronokkan. kenapa anda tidak mengambil peluang menikmatinya. Tentunya kemahiran ini lebih bermakna sekiranya jika dapat melakukannya bersama keluarga.

10. Sebagai persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani berasaskan KSSR anda seharusnya dapat menguasai kemahiran asas renang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BMI CALCULATOR

Disclaimer/Penafian

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Jalan Datin Halimah , 80350 Johor Bahru, Johor.

Tel : 07-2364788 sambungan 236 @ 237 Fax : 07-2379736 Emel: jpjkipti@yahoo.com

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.