Tazkirah

Thursday, May 19, 2011

Peperiksaan Akhir Mei 2011

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Kepada semua siswa guru MAJOR & ELEKTIF Pendidikan Jasmani IPGKTI, kami pensyarah-pensyarah di Jabatan PJK ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam peperiksaan akhir Mei 2011 yang sedang berlangsung sehingga hujung bulan Mei ini. Semoga anda semua diberi kekuatan dan ketenangan dalam menjawab semua soalan-soalan yang dikemukakan dan mendapat keputusan yang CEMERLANG. InsyaAllah...

PJ perlu perhatian serius

Assalamualaikum wbkt dan salam sejahtera...

Saya amat tertarik dengan tulisan Syed Kamaruzaman, UM dalam akhbar Sinar Harian yang bertarikh 16 Mei 2011, Isnin. Tulisan beliau yang bertajuk, "PJ perlu perhatian serius". Cuba hayati petikan ayat ini. "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola!!!". Ingat lagikah anda dengan dialog berkenaan? Dialog lucu yang ditulis oleh Cikgu Shaari di papan hitam dan dibaca bergilir-gilir bermula dengan Nordin bin Hanafi dalam cerita "Masam Masam Manis". P. Ramlee sebagai pendukung watak utama cerita ini berjaya meninggalkan satu impak yang besar sehinggalah ke hari ini. Sebagai satu sumpahan, ianya menjadi satu budaya boleh dikatakan hampir di semua sekolah termasuklah sekolah yang menempatkan JU PJ itu sendiri mengamalkan budaya "main bola" pada setiap kali waktu PJ. Hanya hujan sahaja yang menjadi penghalang kepada kelas "PJ" ini. Walau pun, tulisan tersebut hanyalah sebagai learning object dalam pengajaran & pembelajaran Cikgu Shaari tetapi ianya boleh memberikan 1001 makna kepada mereka yang mendengar dan membacanya. Berdasarkan pengalaman penulis melakukan pemantauan di sekolah-sekolah tentang perlaksanaan kelas PJ ini, jarang sekali penulis melihat guru-guru PJ mengajar PJ mengikut sukatan pelajaran atau dengan kata lain rancangan pengajaran harian (RPH) yang ditulis. Apa yang ditulis lain dan yang diajarkan lain. Mereka menipu diri sendiri, menipu pelajar-pelajar, menipu Guru Besar dan menipu ibu bapa anak-anak yang sepatutnya belajar PJ tetapi mereka hanya bermain bola sewaktu kelas PJ. Dalam SKT mereka menulis di ruangan pencapaian prestasi 100% pengajaran dan pembelajaran tercapai tetapi hakikatnya tidak berlaku pun. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kenyataan daripada Menteri Kesihatan bahawa masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia adalah disebabkan oleh amalan pemakanan mereka. Yang disalahkan adalah nasi lemak. Yang menjadi mangsa adalah pengusaha kantin sekolah. Selepas kenyatan beliau, bermacam-macam lagi kenyataan yang penulis rasakan kurang bijak dan kurang ilmiah. Sebagai seorang yang berilmu sepatutnya, hal ini perlu dikaji dengan mendalam terlebih dahulu dan jangan sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang boleh dikategorikan kurang matang dan kurang bijak. Walaubagai mana pun, langkah Kementerian Kesihatan yang memandang serius perkara ini seharusnya diberi pujian. Sekurang-kurangnya mereka sedar bahawa ada perkara yang masih belum selesai & mereka terlepas pandang. Pasukan kesihatan awam perlu lebih pro aktif dalam mempromosikan hal ini. Jangan semuanya dilepaskan kepada pihak sekolah dan guru-guru. Ibu bapa juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Penulis ingin memetik satu kata-kata pepatah Inggeris yang berbunyi, "You are what you eat". Rasanya tidak perlu penulis mengulas lebih lanjut kerana ianya jelas, tepat dan betul. Justeru itu, penulis amat berharap agar semua pihak tampil dan melakukan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan budaya PJ di sekolah diubah, amalan pemakanan anak-anak dikawal dan pemantauan daripada pihak Kementerian Kesihatan ditingkatkan demi kesejahteraan bersama.

PJ - Pendidikan Jasmani
JU - Jurulatih utama
SKT - Sasaran Kerja Tahunan

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Bersenjatakan pena keramat dan berbekalkan ilmu di dada yang sarat melangkah sang guru penuh semangat ke gelanggang pendidikan untuk berkhidmat dengan satu visi dan matlamat bagi mengangkat martabat umat di pentas watan dan sarwajagat demikian sifat guru berkualiti menjadi pemangkin kegemilangan negara... "GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"... SELAMAT HARI GURU buat semua insan yang bergelar GURU termasuklah bakal guru & mantan guru... Ikhlas daripada kami di Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan IPGKTI...

Friday, May 13, 2011

Pendidikan Luar KDPM KDC Kemas Ambilan Jun 2009

Assalamualaikum wbkt & salam sejahtera...

Pada 9-12 Mei 2011 yang lalu, satu program amali Pendidikan Luar KDPM KDC Kemas Ambilan Jun 2009 telah dijalankan di Simple Recreation Center, Pulau Sibu, Mersing. Program ini adalah sebahagian daripada jam kredit dalam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani (Elektif) bagi kursus KDC KDPM Kemas Ambilan Jun 2009. Sepanjang 4 hari 3 malam, siswa guru didedahkan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang berasaskan air dan darat. Antara pengisian program ialah perkhemahan, abseiling, treaking malam, kayak, snorkeling, sukan pantai dan malam kebudayaan. Dengan menjadikan alam semula jadi sebagai makmal pembelajaran, rata-rata siswa guru yang mengikuti program ini sangat berminat dan berjaya mengikuti program ini dengan cemerlang. Sekalung tahniah buat Cik Saireena Jaafar selaku pensyarah bertanggungjawab. Tahniah juga buat fasilitator lain yang terdiri daripada En. Poniran Salamon, En. Ahmad Fadzil Hj. Noor dan saya sendiri, Mohd Zairi Husain. Semoga dengan ilmu dan pengelaman yang diperolehi di sini dapat diaplikasikan di sekolah kelak. InsyaAllah...

Koleksi gambar sepanjang program dijalankan:-



Video persembahan kumpulan 1



Video persembahan kumpulan 2



Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu...

Assalamualaikum wbkt & selamat sejahtera...

Ibu dibekalkan syurga dikakinya,dimatanya, pada suaranya, pada gayanya, pada sentuhannya & pada didikannya. Ibu yg hebat boleh menukar semua suasana panas kepada suasana syurga. Menjahit yg terlerai, merawat yg terluka,menghibur semua kepedihan, penderma kasih sayang yg tidak bertepi, pendengar kepada semua berita walaupun yg merobek isi hatinya, perindu yg tidak pernah padam rindunya walaupun yg dirindu sudah mahu melupakannya, pemberi yg tidak pernah mencatat apa yg diberi & tidak pernah menuntut balasan dari semua pemberiannya & pendoa yg tidak pernah mengira waktu & memilih kasih. Begitulah hebatnya insan yg bergelar IBU... SELAMAT HARI IBU!!!

Sempena sambutan Hari Ibu, kami di Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan IPGKTI ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat semua ibu di Malaysia dan di dunia, Selamat Hari Ibu... Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan merahmati kehidupan semua insan yang bergelar IBU...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BMI CALCULATOR

Disclaimer/Penafian

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Jalan Datin Halimah , 80350 Johor Bahru, Johor.

Tel : 07-2364788 sambungan 236 @ 237 Fax : 07-2379736 Emel: jpjkipti@yahoo.com

Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.